Khamis, 3 Disember 2015

MP SEPANG RASMIKAN PERTANDINGAN WAU

Ucapan Perasmian Ahli Parlimen Sepang bagi pertandingan wau di Bagan Lalang pada 28 November 2015.

1. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih ke atas pihak penganjur khususnya Encik Zahari selaku pengerusi JKKK kerana sudi menjemput saya merasmikan pertandingan wau atau layang layang pada pagi ini.

2. Saya rasa dengan pertandingan ini ia membantu kita mempromosi pantai Bagan Lalang ini dengan kehadiran orang orang di luar Sepang ke tempat ini.

3. Sebagai Ahli Parlimen Sepang saya seringkali menyebut di Parlimen betapa perlunya Kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan mengambil perhatian Parlimen Sepang ini kerana Sepang adalah pintu masuk pelancong pelancong luar negara yang menggunakan pengangkutan udara kerana KLIA dan KLIA 2 berada di Sepang. Maka adalah mustahak Kerajaan memastikan Sepang ini menjadi destinasi pelancongan utama di negara ini. Kerajaan sama ada Pusat dan Negeri perlu menggiatkan promosi kepada warga tempatan dan asing untuk menziarahi tempat tempat menarik yang menjadi destinasi pelancongan di Sepang.

Saya juga sebelum ini telah meminta Kerajaan mempromosi Kg Batu Laut yang setiap tahun menganjurkan pertandingan tahunan sukan perahu layar di peringkat antarabangsa. Malangnya sukan tersebut tidak dimanfaatkan untuk mempromsi Kg Batu Laut dengan menaik taraf kemudahan kemudahan prasarana di sana dan menggalakkan aktiviti aktiviti ekonomi yang boleh membantu sosio ekonomi penduduk setempat. Kg Batu Laut masih boleh dikatakan tidak pesat membangun meskipun sukan perahu layar antarabangsa dianjurkan di sana setiap tahun.

4. Bagi mempromosi pelancongan adalah penting kita sama sama memikirkan produk produk menarik yang perlu kita tonjolkan bagi menarik minat orang ramai khususnya para pelancong untuk mengetahui lebih me dalam dan menikmati produk produk tersebut. Pertandingan layang layang atau wau ini , bagi saya, adalah salah satu produk yang patut kita tonjolkan di sini.

5. Saya diberitahu oleh pihak penganjur bahawa pertandingan wau ini adalah acara tahunan di sini dan ia bermula dengan pertandingan di peringkat kampung dan kini telah dinaik taraf peringkat daerah.

6. Saya rasa dah sampai masanya kita perlu mengangkat pertandingan ini ke peringkat yang lebih tinggi lagi iaitu dengan kita menjadikan pertandingan ini menjadi acara tetap yang gemilang setiap tahun.

Kita perlu takwimkan ia sebagai satu acara tahunan. Saya akan berbincang dengan pihak Exco Kerajaan Selangor dan Menteri Pelancongan agar sukan wau di Pantai Bagan Lalang ini dinaik taraf sebagai satu sukan tahunan yang menjadi satu produk tetap di sini. Daripada peringkat kampung kini peringkat daerah dan insya Allah selepas ini akan ke peringkat negeri dan tidak mustahil ke peringkat nasional dan selepas itu ke peringkat Asean atau antarabangsa kalau ada kesungguhan dan komitmen yang kuat daripada semua pihak. Ini harapan dan cita cita saya dan saya percaya kita semua insyaAllah.

7. Mungkin kita boleh cadangkan satu bangunan akademi layang layang di sini sebagai satu tanda kita serius untuk mempromosi aktiviti atau sukan ini. Orang kata "long journey begins with one step".

7. Aktiviti permainan layang layang adalah aktiviti yang memerlukan skil, bakat dan teknik teknik tertentu daripada peringkat permulaan iaitu skil dan teknik membuat atau mereka layang layang itu hinggalah memastikan layang layang itu dikendalikan dengan cekap dan berkesan sewaktu ia dimainkan.

8. Saya juga harap sukan ini dijadikan platform untuk mengeratkan perpaduan kaum dengan peserta petandingannya dibuka untuk semua kaum tanpa mengira agama.

9. Akhirnya saya sekali lagi ingin ucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak penganjur. Moga pertandingan ini berjalan dengan lancar dan sukses.

10. Dengan kalimah seeru 'ala barakatillah saya dengan ini merasmikan pertandingan wau tegak 2015 daerah Sepang.

Mohamed Hanipa Maidin
Ahli Parlimen Sepang
28 November 2015.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan